1. UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
ISU-ISU KONTEMPORARI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK
(SME6044)
KUMPULAN: A
TUGASAN BERKUMPULAN 9:
EMPAT ISU BERKAITAN DENGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Disediakan untuk:
Pn. RAJA LAILATUL ZURAIDA BT. RAJA MAAMOR SHAH
Disediakan oleh:
NIK NURUL SYAZWANI BT. IBRAHIM M20151000732
MOHD TARMIZEE B. MOHD BASREE M20151000735
NAJAH BT. MOHD NAWI M20151000759
2. PENDAHULUAN
Perkembangan teknologi dunia telah memberikan satu cabaran untuk pendidikan di Malaysia.
Pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi
maklumat atau ICT dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Langkah ini adalah penting dalam memastikan tahap
pendidikan negara selaras dengan perkembangan teknologi dunia pada ketika ini. Projek ICT
telah dilaksanakan dengan membekalkan komputer ke sekolah-sekolah dan institusi pengajian
tinggi sebagai aktiviti utama dan penyediaan ICT.
Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di negara kita diperkasakan dari
satu tahap ke tahap yang lebih baik. Perkembangan dalam penggunaan ICT dalam pengajaran
dan pembelajaran di sekolah dapat dilihat dari penyediaan komputer kepada LCD dan projektor,
kamera digital serta pengisian CD ROM yang menjadi alat bantu mengajar (ABM) yang
berkesan kepada guru-guru (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012). Pelaburan negara dalam
perlaksanaan projek ICT ini dijangka akan mendapat impak yang tinggi dari segi kualiti
pengajaran guru dan keberkesanan pengajaran yang oleh dilihat melalui pencapaian pelajar di
Malaysia. Suasana pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah juga dijangka akan lebih
aktif dengan penggunaan alatan ICT ini.
Antara kebaikan dan kelebihan yang diperolehi dalam projek ICT yang dilaksanakan
adalah seperti dapat mengelakkan pembaziran masa, maklumat tambahan dapat merancakkan
lagi suasana kelas, pelajar-pelajar dapt dielakkan daripada kebosanan, memberi ruang kepada
pola pengajaran sebenar, memberi kreativiti dalam pengajaran dan sebagainya (Azura Ishak,
Zakaria Kasa, Mohd Hasan Selamat, & Bahaman Abu Samah, 2009). Perkara-perkara ini dapat
dijelaskan dengan melihat situasi-situasi yang berlaku dalam bilik darjah. Dengan pengguanaan
bahan elektronik ini, guru-guru dapat menjimatkan masa dengan menyalin maklumat ke papan
hitam. Visual-visual yang dapat diperolehi dari pengisian yang disediakan juga boleh
menggalakkan interaksi yang aktif antara guru dan pelajar sekaligus dapat mengelakkan pelajar
bosan dengan kaedah “chalk and talk” yang sering digunakan guru (Latifah Abd Majid, Wan
Nasyruddin, & Nurul Hidayah, 2012). Hasil dari interaksi yang positif antara pelajar dan guru,
pelbagai akiviti pengukuhan dapat dilaksanakan guru seperti aktiviti soal jawab, kuiz dan lain-
lain mengikut kesesuaian dan kreativiti guru-guru. Aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada
3. guru untuk melaksanakan kaedah pengajaran sebenar yang boleh mengembangkan kefahaman
dan pemikiran para pelajar.
Walaupun pelbagai kelebihan dapat dirasai dengan penggunaan ICT ini, kajian-kajian
masih mendapati perlaksanaan dalam kalangan guru masih pada peringkat yang rendah (Mohd
Aiman Abdullah, 2008). Cabaran dan masalah dalam penggunaan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran ini dapat dirasai oleh pelbagai pihak seperti pihak kerajaan, pihak pentadbiran
sekolah, guru-guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Antara isu-isu yang dapat dilihat dalam
pengaplikasian kemudahan teknologi dan maklumat (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran
ialah seperti peningkatan jurang pengetahuan antara pelajar di bandar dan luar bandar, kos dan
perbelanjaan yang banyak, kesediaan guru dan vandalisme.
ISU 1 : KESEDIAAN GURU
Kesediaan guru dalam pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi atau Information
and Communication Technology (ICT) boleh dilihat dari beberapa aspek. Kajian (Mohd Hasril
Amiruddin, 2009) yang dijalankan ke atas guru-guru telah mendapati bahawa tahap penggunaan
ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah di peringkat rendah. Hal ini berikutan guru-guru
tidak mempunyai persediaan dan keyakinan dalam menggunakan peralatan teknologi yang
canggih itu.
Tahap kemahiran guru dalam menguasai kaedah mengendalikan peralatan ICT menjadi
faktor utama guru-guru kurang menggunakan peralatan ini dalam sesi pembelajaran (Mohd
Hasril Amiruddin, 2009). Terdapat sebilangan guru-guru adalah merupakan guru-guru yang telah
lama berkhidmat dalam dunia pendidikan. Justeru, guru-guru yang terdiri dari golongan ini
adalah mereka yang paling memerlukan latihan dan memerlukan bimbingan dalam
meningkatkan kemahiran dalam penggunaan ICT. Kekurangan kursus yang disediakan
menyebabkan guru-guru ini tidak dapat menggunakan kemudahan yang disediakan.
Kekangan masa turut menjadi faktor guru-guru tidak menggunakan peralatan ICT semasa
sesi pembelajaran (Abdul Wahab Ismail Ghani, Kamaliah Hj Siarap, & Hasrina Mustafa, 2006).
Hal ini adalah berhubung dengan tahap kemahiran pengendalian peralatan ICT dalam kalangan
4. guru. Guru yang kurang berkemahiran akan mengambil masa yang lama untuk menyediakan
peralatan ini pada awal masa sesi pembelajaran. Jadi, masa pembelajaran yang diperuntukkan
untuk sesebuah kelas menjadi semakin singkat. Dengan pembaziran masa yang berlaku, guru-
guru berkemungkinan untuk tidak dapat menghabiskan silibus pengajaran yang telah ditetapkan
sekaligus akan menyebabkan guru-guru berasa tertekan dek tekanan yang diterima oleh pihak
pentadbiran sekolah.
Namun, terdapat juga guru yang mempunyai sikap pentingkan diri sendiri dan tidak mahu
menyahut perlaksanaan yang dibuat oleh pihak kementerian. Mereka masih berkeras untuk
menggunakan kaedah tradisional untuk mengajar kerana merasakan kaedah itu sudah cukup
bagus untuk memastikan pencapaian yang baik dalam kalangan pelajar (Ahmad Salim Hambiah,
2005). Mereka sebenarnya tidak memahami nilai penggunaan teknologi maklumat ini namun
tidak mahu untuk mendalami ilmu ICT ini. Perlaksanaan projek ICT juga dianggap satu bebanan
yang sengaja ditambah pihak kerajaan kepada guru-guru. Sikap negatif guru seperti ini adalah
tidak wajar dan tidak professional mengikut standard perguruan.
Terdapat juga masalah-masalah yang dihadapi guru dalam menggunakan peralatan ini
seperti masalah teknikal. Masalah-masalah sebaran virus dalam komputer sekolah, gangguan
sambungan internet, alatan yang tidak berfungsi dan lain-lain turut menyumbang kepada
peratusan yang rendah dalam penggunaan teknologi dan maklumat dalam pengajaran dan
pembelajaran.
ISU 2 : JURANG PENGETAHUAN ANTARA PELAJAR BANDAR DAN LUAR
BANDAR
Penggunaan teknologi maklumat atau ICT dalam pengajaran dan pembelajaran turut
menyumbang kepada peningkatan jurang pengetahuan antara pelajar di bandar dan luar bandar
(Mohd Hasril Amiruddin, 2009). Perkara ini adalah kesinambungan dari infrastruktur sekolah di
luar bandar adalah tidak lengkap seperti di sekolah bandar. Pengagihan peralatan teknologi
maklumat yang tidak sama rata turut menyebabkan sekolah luar bandar kurang mendapat
manfaat dari projek ICT yang dilaksanakan.
5. Latar belakang keluarga pelajar dari aspek pengetahuan terhadap penggunaan teknologi
maklumat juga dikaitkan dengan masalah ini. Pelajar di luar bandar kebanyakannya berasal dari
keluarga yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai pengetahuan asas dan pengalaman
dalam menggunakan komputer (Mohd Aiman Abdullah, 2008). Namun, pelajar di bandar pula
yang kebanyakannya berlatar belakangkan keluarga yang mempunyai pendidikan dan
pendapatan yang bagus pastinya sudah biasa dengan aplikasi-aplikasi komputer dan mempunyai
asas yang kukuh dalam penggunaan peralatan elektronik ini. Kebanyakkan program pendidikan
yang dibangunkan dalam bentuk ICT harus digunakan secara dua hala, iaitu memerlukan
interaksi balas daripada pelajar. Justeru, hal ini tidak dapat dilaksanakan jika pelajar tidak tahu
dan takut menggunakan gajet ICT.
Selain guru-guru di sekolah luar bandar terpaksa melatih pelajar tentang pengetahuan
asas komputer, masalah ketiadaan pakar yang dapat membantu menyelesaikan masalah teknikal
komputer juga menjadi satu masalah (Mohamad Arsat & Mohd Yunus, 2011). Komputer atau
peralatan yang tidak dapat berfungsi mengambil masa yang lama untuk dibaiki, sekaligus
menyebabkan penggunaan bahan ini tergendala. Sekolah-sekolah di luar bandar juga kekurangan
guru-guru yang terlatih dalam ICT yang dapat membantu mempercepatkan proses pembaikian
alatan-alatan yang rosak. Jadi jelaslah penyediaan penyelenggaraan komputer yang kurang
memuaskan di sekolah menjadi salah satu punca permasalahan pelaksanaan ICT ini tidak dapat
dilaksanakan dengan baik.
Kemudahan-kemudahan infrastruktur seperti kawasan liputan internet di kawasan bandar
dan luar bandar yang berbeza turut menyumbang kepada masalah ini (Wawasan Pengarang,
2015). Kawasan luar bandar mempunyai liputan internet yang sangat terhad. Ini menyukarkan
pelajar-pelajar di kawasan ini untuk mengakses maklumat tambahan dalam pelajaran mereka.
Hal sebaliknya boleh dilihat di kawasan bandar. Selain itu, infrastruktur seperti ini memainkan
peranan yang besar dalam membantu meningkatkan kemahiran pelajar dalam penggunaan ICT.
Ia bukan sahaja dapat membantu guru untuk melancarkan sesi pengajaran tetapi juga
mempengaruhi pencapaian mereka dalam pelajaran. Kajian oleh (Mohamad Johdi Salleh, Che
Noraini Hashim, Ismael Hassanaen, & Amir Hassan Dewi, 2009) membuktikan bahawa pelajar
di bandar mempunyai tahap pemikiran dan pencapaian yang lebih baik.
6. Oleh itu, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja
meningkatkan jurang pengetahuan antara pelajar tetapi juga jurang dalam pencapaian pelajar.
Kerja-kerja menaiktaraf kawasan luar bandar adalah sangat penting dalam menjayakan aspirasi
pendidikan negara untuk menghapuskan jurang yang terhasil antara pelajar bandar dan luar
bandar.
ISU 3 : KOS DAN PERBELANJAAN YANG TINGGI DALAM PERLAKSANAAN
PROJEK ICT
Pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran
adalah suatu langkah besar yang memberikan impak yang tinggi kepada taraf pendidikan negara.
Namun, perlaksanaan perkara ini adalah memerlukan dana perbelanjaan yang sangat tinggi
dalam memastikan objektif perlaksanaan dapat dicapai. Dana perbelanjaan bukan sahaja
diperlukan untuk menyediakan kelengkapan infrastruktur, tetapi juga dalam menyiapkan guru-
guru untuk menjayakan perlaksanaan ini.
Kos yang tinggi dalam menyediakan peralatan ICT kepada semua sekolah di seluruh
negara adalah merupakan salah sau faktor ketidakseimbangan pengagihan peralatan komputer ini
antara sekolah-sekolah. Masalah yang dihadapi sekolah-sekolah seperti komputer yang mudah
rosak adalah berkemungkinan disebabkan tahap kualiti peralatan yang disediakan tersebut.
Walaupun begitu, usaha kerajaan dalam memenuhi keperluan sekolah-sekolah tidak boleh
dipandang remeh. Pelbagai langkah telah diambil seperti meningkatkan pengeluaran guru yang
mempunyai kebolehan dalam bidang ICT. Secara tidak langsung, guru-guru ini dapat membantu
kerajaan dalam mengurangkan kos perbelanjaan yang diperuntukkan untuk membaiki komputer
dan peralatan yang rosak.
Terdapat banyak langkah-langkah yang dicadangkan oleh pelbagai pihak setelah kajian-
kajian dijalankan telah mengenalpasti masalah dan cabaran yang dihadapi guru dalam
melaksanakan penggunaan ICT ini dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun peruntukan yang
diperlukan dalam melaksanakan cadangan-cadangan tersebut menjadi kekangan yang utama.
Antara cadangan-cadangan yang dijangka mampu untuk mengatasi masalah-masalah yang
dihadapi guru adalah seperti menyediakan seorang pakar dalam ICT di setiap sekolah bagi
7. membantu guru melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Bilangan sekolah di negara
kita yang terlampau banyak semestinya menelan belanja yang besar. Bengkel-bengkel dan
kursus-kursus untuk diberikan kepada guru-guru bagi meningkatkan kemahiran ICT dijalankan
secara berperingkat kerana perbelanjaan yang besar juga diperlukan.
Selain itu, masalah komputer di bilik komputer yang terhad juga menggangu kelancaran
sesi pengajaran dan pembelajaran dan pembelajaran. Guru-guru perlu bersaing dengan guru lain
untuk menempah penggunaan bilik komputer atau bilik multimedia. Guru-guru perlu bersaing
dengan guru lain untuk menempah penggunaan bilik komputer atau bilik multimedia. Persaingan
ini sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada hubungan guru dan juga hubungan pelajar.
Perasan tidak puas hati akan timbul apabila kes-kes pertindihan masa seperti ini berlaku.
Dalam isu ini, kerajaan tidak memandang remeh terhadap langkah-langkah
penambahbaikan yang perlu diambil. Namun, sokongan dari pihak-pihak lain dalam menangani
masalah ini juga diperlukan bagi memastikan kejayaan bersama.
ISU 4 : PENYALAHGUNAAN KEMUDAHAN ICT
Masalah penyalahgunaan kemudahan yang disediakan pihak kerajaan bukan suatu isu yang baru
untuk dibincangkan. Kita sudah dipaparkan dengan berita-berita mengenai penyalahgunaan
seperti vandalisme di tempat-tempat awam mahu pun sekolah. Penyalahgunaan ICT juga
merupakan satu tindakan yang tidak bermoral yang perlu dibanteras.
Penyalahgunaan kemudahan ICT yang sering diperhatikan ialah penyalahgunaan
perkhidmatan jalur lebar internet yang disediakan pihak kerajaan bagi membantu guru-guru serta
pelajar melancarkan proses pembelajaran. Isu penyalahgunaan makmal komputer dan internet
percuma di sekolah, di mana guru-guru dan pelajar ada di dapati menyalahgunakan kemudahan
internet di sekolah untuk melayari laman-laman web yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan
pembelajaran seperti laman sosial dan sebagainya.
Hal ini menunjukkan bahawa penyalahgunaan dalam penggunaan peralatan ICT ini
bukan sahaja melibatkan guru malah murid. Tambahan pula, keseluruhan pelajar-pelajar masa
kini dikatakan mempunyai telefon pintar yang canggih terutamanya pelajar yang berada di
8. bandar. Pelajar-pelajar telah membawa telefon ke sekolah dan menggunakan internet yang
disediakan untuk memuat turun pelbagai aplikasi. Pemantauan yang ketat kepada pelajar-pelajar
ini bukan sahaja merupakan peranan guru, tetapi juga peranan ibu bapa. Penyalahgunaan internet
dalam kalangan guru juga menjadi satu kesalahan moral. Terdapat guru yang menggunakan masa
lapang untuk memuat turun cerita-cerita terkini yang boleh didapati dalam internet. Sikap guru
yang bermasalah ini akan menyebabkan mereka dipandang rendah oleh orang sekeliling.
Pelajar yang menyalahgunakan kemudahan internet dengan melayari perkara-perkara
yang tidak bermoral turut mempengaruhi persepsi ibu bapa terhadap perlaksanaan penggunaan
teknologi maklumat di sekolah. Ia bukan sahaja mengakibatkan bantahan-bantahan yang akan
diterima oleh ibu bapa, tetapi persepsi ibu bapa tersebut akan mempengaruhi sikap anak-anak
mereka dalam menggunakan kemudahan ICT (Sulaiman Bin Andi, 2002). Sebagai contoh,
pelajar tidak melakukan tugasan berkaitan dengan perisian ICT yang diberikan guru kerana ibu
bapa mereka tidak membenarkan mereka menggunakan komputer di rumah. Secara tidak
langsung, prestasi pelajar akan turut terjejas. Selain penyalahgunaan internet, kegiatan
vandalisme yang sering dikaitkan dengan pelajar juga merupakan satu perkara penting yang
perlu diatasi. Kegiatan ini tidak menguntungkan mana-mana individu tetapi membawa kerugian
yang besar kepada pihak kerajaan.
Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak. Pihak sekolah, guru-guru dan ibu
bapa, serta pihak kementerian perlu memainkan peranan masing-masing agar masalah
penyalahgunaan dapat diminimakan. Penghapusan isu ini bukan sahaja akan memberi manfaat
kepada guru dan pelajar dalam memastikan kelancaran proses pembelajaran, tetapi juga dapat
mengurangkan perbelanjaan yang ditanggung kerajaan untuk membaik pulih peralatan ini.
KESIMPULAN
Secara amnya semua pihak bersetuju bahawa penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran akan membantu guru dalam meningkatkan keberkesan mendapatkan maklumat dan
penyampaian pengajaran kepada pelajar. Pelajar pula akan lebih mudah dan lebih
mendapat kefahaman mengenai proses pembelajaran yang dilalui. Tetapi, masalah-masalah yang
9. dihadapi oleh pelbagai pihak telah membantutkan objektif yang hendak dicapai dalam
perlaksanaan ini.
Oleh itu, semua pihak patut bersatu hati dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam
mengaplikasikan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Kejayaan ini bergantung kepada semua pihak yang sepatutnya memainkan peranan masing-
masing. Sesungguhnya komitmen semua pihak amat ditagih dalam memastikan segala halangan
dapat diminimumkan dan kejayaan dapat diraih dengan jayanya, dalam memastikan
pengaplikasian ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah membanggakan.
Rujukan
Abdul Wahab Ismail Ghani, Kamaliah Hj Siarap, & Hasrina Mustafa. (2006). Penggunaan Komputer dalam
Pengajaran dan Pembelajaran dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah : Satu Kajian Kes. Kajian
Malaysia, XXIV(1&2), pp. 203-225.
Ahmad Salim Hambiah. (2005). Penggunaan Komputer dalam Kalangan Guru Sains SekolahMenengah.
Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Azura Ishak, Zakaria Kasa, Mohd Hasan Selamat, & Bahaman Abu Samah. (2009). Perbandingan
Pengajaran Berasaskan Multimedia dan Tradisional ke Atas Pencapaian Matematik dan Sikap
Matematik di Kalangan Pelajar Berisiko. Jurnal Teknologi Maklumat & Multimedia,79-89.
Kamaruddin Husin, & Siti Hajar. (2003). Pedagogi Untuk Asas Pendidikan. Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Sukatan Pelajaran
Matematik Tambahan. Kuala Lumpur: Pusat PerkembanganKurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012). Buku Program i-Think. Putrajaya: Bahagian Pembangunan
Kurikulum (KPM).
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013-2025).
Retrieved October 27, 2015, from Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia:
http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/articlefile/2013/articlefile_file_
Latifah Abd Majid, Wan Nasyruddin, W., & Nurul Hidayah, A. (2012). Penerapan Nilai Murni dan
Pembentukan Jati Diri Kanak-Kanak Prasekolah Melalui Penggunaan Multimedia. Journal
Hadhari Special Edition, 51-65.
10. Mohamad Arsat, & Mohd Yunus. (2011). Satu Kajian Cabaran Guru di Sekolah Pedalaman Daerah
Muar, Johor. Muar: Universiti Teknologi Malaysia.
Mohamad Johdi Salleh, Che Noraini Hashim, Ismael Hassanaen, & Amir Hassan Dewi. (2009).
Status Sosioekonomi dan Komitmen Ibu Bapa Terhadap Pencapaian Pelajar dalam PMR.
Bridging Words : Making Connection in Education.
Mohd Aiman Abdullah. (2008). Faktor-faktor yang Mempengaruhi Penggunaan Komputerdi Kalangan
Guru Teknikal di Sekolah Menengah Teknik di Bintulu Sarawak. Johor Bahru: Universiti
Teknologi Malaysia.
Mohd Hasril Amiruddin. (2009). Kemudahan, Sikap, Kemahiran Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) dalam Kalangan Guru-guru Program Pendidikan Khas Sekolah
Menengah Teknik di Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti PutraMalaysia.
Sulaiman Bin Andi. (2002). Kajian tentang Latar Belakang Keluarga serta Sikap & Minat Pelajar
Tingkatan Empat Terhadap Matapelajaran Sains KBSM. Perak: Universiti Pendidikan Sultan
Idris.
Wawasan Pengarang. (2015, 10 19). Infrastruktur Lengkap Mampu Lahir Pelajar Cemerlang. Miri:
Utusan Sarawak.